Halaman

Jumaat, 24 Januari 2014

Tokoh : Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir
Gelaran bapa permodenan telah diberikan kepada beliau kerana beliau telah menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang moden, mampu bersaing di persada dunia. Kejayaan melonjakkan kemajuan Malaysia menjadikan beliau seorang individu dan pemimpin yang dihormati dan disegani.

Dilahirkan di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, Tun Dr Mathatir merupakan anak bongsu di kalangan sembilan orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang perak pada tahun 1930 selama 2 tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Government English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Hamid selepas memasuki kelas peralihan selama setahun memperoleh keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada 1945.

 Selepas tamat pengajian peringkat menengah pada tahun 1947, Tun Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kerajaan Negeri Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Selain subjek teras, beliau sangat meminati subjek sejarah kerana berpendapat bahawa sejarah merupakan asas kepada sesuatu bangsa untuk bergerak ke hadapan mencapai kemajuan dan mengelakkan bangsa tersebut daripada mengulangi kesilapan atas kesalahan yang sama.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah semasa di bangku sekolah iaitu pejuangan menentang Malayan Union yang cuba ditubuhkan oleh kolonial Inggeris pada tahun 1946. Sebelum itu, beliau juga telah menulis surat Dato' Onn Jaafar supaya menolak anugerah 'Sir' daripada kerajaan British. Bersama beberapa rakan yang lebih tua, beliau akan menaikkan pelbagai kain rentang yang menampilkan slogan anti Malayan Union di sekitar Alor Setar.

Bersama Keluarga
Tun Dr Mahathit seorang yang sangat prihatin dan peka dengan keadaan sekeliling. Beliau memerhati, menganalisis, memberi pendapat dan mengkritik keadaan politik dan sosial di negara kita sejak zaman sebelum merdeka lagi. Semasa masih bergelar penuntut universiti, beliau sering menghantar artikel untuk disiarkan di akhbar Straits Times dan Sunday Times dengan menggunakan nama pena Che'Det.

Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan(M.B.B.S) dari University of Malaya,Singapura dan memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi Doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Tun Dr.Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar. Beliau juga pernah berkhidmat di Langkawi, Jitra dan Perlis. Kemudian beliau membuka klinik dikenali sebagai Klinik Maha di Alor Setar pada tahun 1957 untuk membolehkan beliau bergerak dengan lebih cergas dan bebas dalam dunia politik.

Penglibatan Tun Dr.Mahathir dalam politik sebenarnya bermula apabila beliau menjadi ahli SABERKAS(Sayangkan Bangsa Ertinya Korban Apa Sahaja) di Kedah. Oleh kerana SUBERKAS merupakan badan bersekutu UMNO, maka Dr Mahathir secara automatik menjadi ahli UMNO apabila ia ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Walau bagaimanapun, pada peringkat awal beliau agak kurang disenangi oleh sebahagian pemimpin UMNO negeri pada masa itu kerana pemikiran beliau yang terlalu progresif dan mendahului masa. Antara saranan kontroversi yang ditolak oleh UMNO Kedah ialah beliau mancadangkan supaya semua calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum mempunyai taraf pendidikan tertentu tanpa perlu bergantung kepada pengalaman mereka dalam bidang politik semata-mata.

Kelantangan membela kepentingan rakyat yang tertindas dan keberanian beliau menongkah arus berlainan pendapat daripada majoriti jugalah menyebabkan beliau dipecat dari UMNO seketika pada 1969. Beliau kembali bergiat cergas apabila diterima semula masuk ke dalam UMNO oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak pada bulan Mac 1972 dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pelajaran Tinggi pada 6 Jun 1972. Menyedari bahawa beliau seorang yang berpegalaman dalam bidang pelajaran dan amat mencintai ilmu pengetahuan, maka Tun Abdul Razak telah melantik beliau sebagai Menteri Pelajaran pada 1974. Tun Dr.Mahathir sedar bahawa semua anak negeri ini perlu diberi hak dan peluang sama-rata untuk memperoleh pendidikan dan taraf pelajaran yang tertinggi kerana beliau percaya hanya dengan ilmu pengetahuan sahaja negara dapat mencapai tahap kemajuan dan pemodenan yang dikehendaki.

Apabila menyandang jawatan politik tertinggi negara pada 16 Julai 1981, Tun Dr.Mahathir mengambil langkah segera mempercepatkan pembangunan dan pemodenan negara kerana berpendapat bahawa negara perlu bergerak pantas agar tidak ketinggalan. Di bawah pentadbiran beliau, lanskap ekonomi negara berubah daripada sebuah negara pertanian kepada yang berasaskan industri teknologi tinggi dan perdagangan global. Beliau juga popular sebagai pemimpin yang berwawasan dan berpandangan jauh, oleh itu Tun Dr. Mahathir telah membangunkan Syarikat Perusahaan Otomobil Nasional(PROTON) dan Perusahaan Otomobil Kedua(PERODUA) yang mampu bersaing dengan pasaran kereta import.

Penswastaan syarikat-syarikat kerajaan seperti Telekom Bhd, Tenaga Nasional Bhd, KTM dan Pos Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr.Mahathir bertujuan untuk mengurangkan beban kerajaan pusat, mempercepatkan pengurusan dan menambahkan daya saing. Berlandaskan matlamat tersebut, Tun Dr.Mahathir telah membangunkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya yang menempatkan kompleks pelbagai kementerian yang sistematik serta mengilhamkan pembangunan Menara Berkembar Petronas. Beliau juga telah merealisasikan sebuah daerah yang menjadi hub teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global di rantau Asia yang dikenali sebagai Koridor Raya Multimedia (MSC) yang berpangkalan di Cyberjaya. Hub tersebut telah berjaya menarik perhatian ratusan syarikat ICT antarabangsa untuk menubuhkan pusat operasi serantau di situ seperti dari Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah. Antara syarikat ICT yang beroperasi di MSC termasuk Microsoft, IBM, Nokia, Fujitsu, Measat, Motorola, Bloomberg, Reuters, Ericsson, Hewlett-Packard, Alcatel, Aptilo Network dan banyak lagi.

Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga mencatat satu lagi sejarah kejayaan negara yang amat gemilang. Pencapaian tersebut telah mengangkat imej Malaysia dalam arena penerbangan antarabangsa kerana kecanggihan peralatan dan kecekapan perkhidmatannya. Sebagaimana dicatatkan pada tahun 2007, KLIA telah direkodkan sebagai lapangan terbang ke-13 paling sibuk di dunia dan yang ke-7 di Asia. Tun Dr.Mahathir percaya bahawa infrastruktur negara merupakan salah satu bentuk pelaburan jangka penjang yang perlu dilaksanakan segera kerana jika ditangguhkan kos pembinaan akan menjadi lebih tinggi pada masa hadapan dan akan mengakibatkan negara menanggung beban perbelanjaan yang besar.

Dibawah pimpinannya, Malaysia telah memainkan peranan penting melalui kerjasama selatan-selatan dengan pelbagai program dan strategi yang diatur. Fokus utama adalah untuk memakmurkan negara jiran berteraskan kepada pendekatan 'prosper-the-neighbour'. Tun Dr.Mahathir juga merupakan pemimpin dan pengasas penubuhan Suruhanjaya Selatan-Selatan di kalangan negara membangun. Beliau turut mewujudkan penubuhan Persidangan Ekonomi Asia Pasifik(APEC) bagi membentuk kerjasama ekonomi dikalangan negara-negara di rantau Asia Pasifik. Malaysia merupakan sebuah negara yang menjadi anggota penaja APEC selain Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat. Demikianlah besarnya fungsi yang dimainkan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad.

Pemikiran beliau yang bernas turut mendapat perhatian dunia. Pada tahun 1987 beliau menjadi President of United Nation Sponsored International Conference on Drug Abuse and lllicit Trafficking, Vienna, Austria. Pada tahun 1989 beliau dilantik sebagai Chairman of the High Level Appraisal Group, CHOGM. Seterusnya pada tahun 1996 beliau turut dilantik sebagai seorang Vice President of the World Solar Commission. Sebelum itu, pada tahun 1994, beliau telah diberi penghormatan untuk merasmikan Zimbabwe International Trade Fair meskipun beliau bukan berbangsa Afrika.

Nama Tun Dr.Mahathir akan terus terpahat sebagai "Bapa Permodenan Malaysia" negarawan ulung yang berwawasan menjadikan Malaysia sebuah negara moden dan makmur dengan purata pertumbuhan ekonomi yang tinggi setiap tahun. Di bawah pentadbirannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, Malaysia berjaya menonjol sebagai sebuah negara Islam yang bermaruah dan disegani di mata barat.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...