Halaman

Khamis, 30 Januari 2014

Tun Dr.Ismail Dato' Hj. Abdul Rahman

Tun Dr.Ismail Dato' Hj. Abdul Rahman

1915 - 1973
Beliau dilahirkan pada 4 November 1915, segala jasa dan pengorbadan Tun Dr.Ismail Bin Dato' Hj.Abdul Rahman terhadap negara sentiasa dikenang walaupun selepas ketiadaannya. Mantan Timbalan Perdana Menteri Ke-2 ini diperakui pakar dalam hubungan antarabangsa dan mempunyai rekod cemerlang dalam hal- ehwal dalam negeri. Ringkasnya, beliau adalah pemimpin yang bergandingan dengan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dalam proses memperkukuhkan negara bangsa Malaysia.

 Anak kelahiran Johor Bahru ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Bukit Zaharah dan kemudian melanjutkan pelajaran di English College, kedua-duanya di Johor Bahru. Setelah lulus dengan cemerlang dalam pendidikan peringkat menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke King Edward College of Medicine, Singapura dari tahun 1936 hingga 1939. Setelah itu, beliau telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Queen's College Melbourne University, Australia sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan tahun 1945. Beliau mendapat penghargaan dan menjadi kebanggaan negara kerana menjadi anak melayu pertama lulus Ijazah Perubatan dari University tersebut. Sekembali ke Tanah Air, beliau menyertai Jabatan Kesihatan Johor buat seketika dan kemudian membuka klinik perubatannya sendiri yang dikenali sebagai Tawakkal di Johor Bahru.

Tun Dr.Ismail mula menempa nama dalam bidang politik apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor tahun 1948 hingga 1954. Di peringkat persekutuan pula, beliau mula menyertai UMNO pada tahun 1951 setelah Dato' Onn Jaafar meletak jawatan dan Tunku Abdul rahman diangkat sebagai Presiden UMNO. Beliau juga menganggotai Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan oleh Sir Gerald Templer pada tahun 1955 dan setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Tanah, Perlombongan dalam kabinet persediaan Tunku Abdul Rahman.


Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Tun Dr.Ismail telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada tahun 1956. Tunku Abdul Rahman turut memilih beliau sebagai salah seorang ahli rombongan ke London pada Februari 1956 bagi rundingan kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau telah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat yang pertama dan pada masa yang sama sebagai wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Sebaik pulang ke tanah air, khidmat dan pengalaman luas beliau dalam politik amat diperlukan menyebabkan beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian buat kali kedua serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri antara tahun 1960-1967. Atas sebab-sebab kesihatan, Tun Dr.Ismail bersara seketika daripada bidang politik negara dan menjalani rawatan kanser di London. Desakan keadaan selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, Tun Dr.Ismail kembali melibatkan diri dalam kancah politik demi kepentingan negara. Beliau sekali lagi telah dilantik sebagai Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri dan bertanggungjawab membantu Tun Abdul Razak meredakan ketegangan dalaman ini sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Gerakan Negara(MAGERAN)

Apabila keadaan negara telah pulih sepenuhnya, Tun Abdul Razak telah sebulat suara dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-2 dan melantik Tun Dr.Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1971. Tun Dr.Ismail telah menampilkan prestasi yang amat membanggakan dan banyak membantu meringankan tugas serta tekanan yang dihadapi oleh Tun Abdul Razak ketika itu. Tun Dr.Ismail juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak berada di luar negara.

Pada 2 Ogos 1973 beliau meninggal dunia akibat serangan jantung dan dimakamkan di Makam Pahlawan yang merupakan pemimpin pertama disemadikan di situ. Ungkapan beliau, 'Jangan sapu ke bawah permaidani' yang sangat terkenal diingati sehingga ke hari ini. Ungkapan ini timbul berikutan permasalahan ekonomi orang Melayu yang sangat daif tetapi cuba ditutup begitu sahaja, sehingga akhirnya tercetus Peristiwa 13 Mei 1969.

Sumbangan pemikiran beliau yang luar biasa memberi inspirasi kepada Akademi Perubatan Malaysia menganjurkan pidato Tun Dr.Ismail setiap dua tahun sekali. Sebagai mengenang jasa beliau, namanya terpahat di Kolej Tun Dr Ismail, UPM, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, UTHM, Batu Pahat Johor dan Taman Tun Dr Ismail di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur. Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, Universiti Malaya menganugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang kepada beliau pada tahun 1964.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...