Halaman

Khamis, 13 Februari 2014

Dr Burhanudin Al-Helmy

Dr.Burhanuddin Al-Helmy

Jepun telah berjanji kepada Sukarno untuk memberikan kemerdekaan sebaik berakhirnya Perang Dunia Kedua. Dr. Burhanuddin dan Ibrahim Yaacob juga mahu bersama-sama dengan Sukarno untuk mencapai kemerdekaan. Atas matlamat tersebut, satu rundingan telah diadakan dengan Sukarno dan Hatta di Taiping, Perak pada 12-13 Ogos 1945. Ketika itu, Sukoarno dan Hatta sebenarnya baru pulang dari Vietnam menuju ke Indonesia setelah bertemu Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun di Asia Tenggara, Terauuchi.

Atas Inisiatif Dr.Burhanuddin, satu mesyuarat susulan telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi memerancang beberapa langkah yang perlu dibuat untuk menghalang kemasukan semula koloni British. Mesyuarat juga memutuskan untuk membentuk kabinet Tanah Melayu yang dicadangkan bernama Negara Demokratik Rakyat Malaya. Mesyuarat juga turut membincangkan bagaimana menghalang anggota MPAJA keluar menganas dari dalam hutan.

Pada 17 Ogos 1945, pemimpin tertinggi KRIS telah mengadakan pertemuan dengan Jeneral Itagaki dan diberitahu bahawa rancangan pembentukan Melayu Raya dan mendapatkan kemerdekaan tidak dapat dilaksanakan kerana kekalahan Jepun yang mendadak. Kegagalan tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangat Dr.Burhanuddin.

Slogan yang ditimbulkan oleh beliau setelah kegagalan idea penyatuan dengan Indonesia ialah semangat kemerdekaan untuk Tanah Melayu bagi membela hak keadilan putera melayu. Selepas gagal dengan KRIS , beliau telah menubuhkan Parti Kesatuan Melayu Muda(PKMM) dengan matlamat yang sama. Selama menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua PKMM,beliau turut menghadiri Kongress Melayu Semalaya anjuran Dato' Onn Jaafar dan terlibat dalam penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) pada 11 Mei 1946. Beliau kemudiannya menubuhkan Hizbul Muslimin pada 17 Mac 1948 tetapi telah diharamkan oleh pemerintah British kerana dituduh sebagai radikal dan bersubahat dengan Parti Komunis Malaya(PKM).

Satu sumbangan besar Dr.Burhanuddin al-Helmy melalui PUTERA(Pertubuhan Melayu Anti-UMNO)ialah merangka The People Constitution Of Malaya yeng menggariskan kehendak dan suara rakyat Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, perlembagaan ini telah ditolak oleh British dan UMNO. Sebaliknya British dan UMNO mengadakan rundingan membentuk perlembagaan Tanah Melayu.

Nama sebenar beliau ialah Amir Burhanuddin Bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama Sekolah Melayu. Beliau dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat pada tahun 1924 hingga 1926. Pada tahun 1926, Burhanuddin al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ, beliau menuntut pula di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas IV Thanawi pada tahun 1934.

Beliau kemudiannya mendapat peluang belajar di Universiti Aligarh, India dalam bidang Sastera dan Falsafah sekaligus mempelajari bahasa Inggeris, Perancis, German, dan perubatan homeopati. Pelajaran Homeopati yang dipelajari beliau juga berjaya ditamatkan di Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Semasa belajar di India pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali jinnah dan Pandit Jawaharlal Nehru. Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki.

Ahmad Boestamam pernah menjelaskan tentang perjuangan Dr.Burhanuddin dan menganggap beliau seorang yang patriot negara yang banyak berjasa. Beliau turut diberi gelaran "Bapa Kebangsaan Melayu" kerana hingga akhir hayatnya beliau tetap konsisten dengan penubuhan negara bangsa yang dinamakan Melayu. Berasaskan kepada keteguhan semangat beliau memperjuangkan politik berlandaskan perjuagan Islam, Dr.Burhanuddin telah terpilih sebagai Presiden Parti Islam Semalaya(PAS) yang ketiga dalam perhimpunan kelima parti tersebut pada tahun 1956.

Selain terlibat dalam bidang politik, beliau turut menghasilkan beberapa karya penulisan yang bertujuan untuk membuka mata masyarakat terutama orang melayu mengenai maksud sebenar perjuangan dan perkaitannya dengan Islam. Antara karya penulisannya ialah:

  1. Perjuangan Kita(1946)
  2. Falsafah Kebangsaan Melayu(1947)
  3. Agama & Politik(1954)
  4. Ideologi Politik Islam(1957)
Perginya Dr.Burhanuddin pada 25 Oktober 1969 bererti politik negara kehilangan seorang bunga bangsa yang terkenal dengan keteguhan prinsip perjuangan yang tetap beliau pertahankan hingga akhir hayat.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...